Pertandingan Pencak Silat Jemputan Sekolah Sukan 2024 buka tirai



​​

Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 3 Mei. - Pertandingan Pencak Silat Jemputan Sekolah Sukan 2024 anjuran Sekolah Sukan membuka tirai pagi tadi pada Majlis Pembukaan Rasmi yang berlangsung di Dewan Sekolah Sukan, Kampung Pulaie, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Presiden Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERSIB), Pengiran Haji Abdul Karim bin Pengiran Haji Metassan.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Pelajaran Sekolah Sukan, Awang Hadi Hamizan bin Abdul Rahman, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua Sekolah Sukan, Dayang Hajah Nor Aisah binti Haji Mohd Salleh.

 

Kemudian majlis diteruskan dengan perasmian pertandingkan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat, dan disusuli dengan suai kenal kepada lima buah pasukan yang bertanding iaitu Pasukan Sekolah Sukan, ⁠Skim Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Brunei Muara, ⁠Skim JBS Tutong, ⁠Centre of Training Daerah Belait, dan ⁠Centre of Training Daerah Temburong.

 

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan sekali lagi oleh Awang Hadi Hamizan.

 

Sebelum pertandingan dimulakan pembukaan gelanggang disempurnakan oleh mantan Ketua Jurulatih Pencak Silat Sekolah Sukan, Awang Haji Adanan bin Ahad.

 

Pada hari pertama ini, pertandingan dimulakan dengan acara Seni Tunggal Lelaki dan Perempuan.

 

Di antara matlamat pertandingan ini adalah untuk menyokong PERSIB dalam perkembangan Pencak Silat dengan memberikan peluang kepada pesilat-pesilat remaja untuk bersaing secara sihat dan mengeratkan silaturahim di antara pasukan-pasukan yang dijemput.

 

Close